CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, 3 August 2008

testing...testing...



Dengan nama ALLAH ar-Rahman ar-Rahim…

Da lama aku x update blog ni...kali ni aku pon tak taula ape yang aku ngarut dalam ni...harap korang paham jela ek...

Alhamdulillah setelah menamatkan empat tahun pengajian di kampus hijau UPM, Dia telah mengizinkan aku untuk menjalankan latihan mengajar di negeri pilihanku sendiri iaitu Rembau Negeri Sembilan. Sengaja untuk aku memilih negeri ini atas gerak hati yang beria-ia mahu memberi khidmat di negeri sendiri-selagi pilihan masih boleh dibuat. Namun begitu, terdapat beberapa matlamat yang hendak aku capai selain menjalankan latihan praktikal mengajar sebelum menjadi seorang guru yang kompeten.

Ketika hari pertama menjejakkan kaki di URESS (Undang Rembau Secondary School/Sekolah Menengah Undang Rembau) ini, pelbagai pertanyaan dan teka-teki berlegar-legar di ruang minda khususnya mengenai penerimaan warga sekolah terhadap diri ini. Perasaanku jua bercampur-baur antara gembira, excited, berdebar-debar dan sebagainya. Aku amat mengiakan pesanan Prof Sidek iaitu pengarah urusetia latihan praktikal kami bahawasanya para pelatih seharusnya menyediakan persiapan diri dari semua segi khususnya fizikal, mental dan rohani dalam menempuh latihan mengajar ini.

Pagi itu, pada jam 7 pagi aku bersama kawan-kawan praktikal yang lain telah sampai di sekolah seawal itu untuk berjumpa dengan pengetua dalam menguruskan mengenai tujuan keberadaan kami di sekolah itu. Pelajaran pertama kami pada hari pertama itu adalah menghadiri perhimpunan. Apa tidaknya, diri ini berasa kekok ketika berada di atas pentas bersama-sama guru yang lain menghadap anak-anak murid yang bakal diajar padahal selama ini aku adalah insan yang duduk dan berdiri di perhimpunan bersama-sama rakan pelajar yang lain menghadap dan memuliakan guru yang berada di atas pentas mendengar amanat serta nasihat yang disampaikan oleh guru. Tapi kini, transisi identiti daripada seorang pelajar kepada seorang guru ini menyebabkan aku berasa kekok dan kurang selesa. Namun begitu, cuba aku untuk ’mind set’ kan diri ini bahawasanya sekarang AKU ADALAH SEORANG GURU. Aku berasa bersyukur apabila mendengar ucapan serta nasihat guru yang berucap khususnya apabila mereka mengajak dan membawa anak-anak murid ke arah kembali kepada Tuhan.

Sangkaan aku bersama-sama rakan-rakan sepraktikal yang lain ternyata meleset sama sekali atas kurang kesediaan sekolah ini terhadap kehadiran kami. Kesediaan yang aku maksudkan bukanlah mengadakan jamuan selamat datang atau dibentangkan karpet merah tetapi keperluan penting yang kami perlukan iaitu manyediakan guru pembimbing yang bersedia (telah ditaklimatkan di UPM) untuk membimbing dan mengajar kami mengenai kemahiran pedagogi yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran serta kandungan pengajaran tidak disediakan sebagaimana yang sepatutnya. Hati kecil ini merungut seketika. Namun begitu, terus aku bermuhasabah dan menganggapkan ianya adalah salah satu cabaran yang harus ku tempuh. Aku bermonolog sendiri…”ala Hawa, bukan ke kau dah biasa ‘stand on your own legs’ rileksla beb…

Setelah menguruskan hal guru pembimbing di bilik guru aku keluar dari bilik guru untuk membiasakan diri dengan tempat-tempat dan laluan di sekolah untuk memudahkan gerak kerja aku nanti. Ketika berjalan, aku bertembung dengan beberapa orang pelajar dan salah seorang daripada mereka memberikan salam kepadaku “Assalamualaikum cikgu…” Kemudian kawan yang di sebelahnya menegur kawan yang memberi salam tadi. “Assalamualaikum ustazahlah”…”Eh cikgu ke ustazah?” Dengan perasaan terkejut dan sedikit tergamam aku pun mengangguk dan menjawab salam mereka. Aku tergelak sendiri apabila melihat kekeliruan pelajar2 tadi terhadap penampilan aku. Mungkin kerana tudung yang aku pakai agak labuh. Tapi, tidak aku nafikan aku berasa sedikit gembira dan teruja dengan sapaan yang ku anggap ‘mahal’ tadi seterusnya menyemarakkan kembali semangat aku untuk mengajar anak-anak muridku sekaligus mengubat perasaanku. Chaiyok Hawa sensei!

YA ALLAH! TERANGKANLAH HATIKU UNTUK BELAJAR DAN MENGAJAR SERTA BUKAKANLAH SIMPULAN LIDAHKU DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MURIDKU. TERANGKANLAH JUA HATI ANAK-ANAK MURIDKU SUPAYA MEREKA FAHAM TERHADAP PELAJARAN DAN DAKWAH YANG HENDAK AKU SAMPAIKAN.

YA KARIM, JADIKANLAH KAMI SENTIASA MENYAMPAIKAN HIDAYAH & MENDAPAT HIDAYAH, BUKANNYA YANG SESAT DAN MENYESATKAN, PEMBAWA KESELAMATAN BUAT PARA WALIMU DALAM MEMERANGI MUSUHMU, KAMI CINTA DENGAN KECINTAAN ORANG YANG MENCINTAIMU DAN MEMUSUHI SESIAPA YANG MEMUSUHIMU….AAMIIN YA RABBAL ALAMIN…

0 comments: