Alhamdullillah, kita bersyukur kerana negara kita sering dilawati oleh para ulama samada untuk berdakwah atau mengadakan majlis pengajian. Antara ulama yang pernah berkunjung ke negara kita, antaranya: al-Marhum Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas al-Hasani al-Maliki, Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, Shaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Dr Umar Abdullah Kamil, Habib Kazim Ja’far Muhammad as-Saqqaf, al-Habib Ali al-Jufri, Baba Hj Ismail bin Umar Spanjang al-Fathoni, asy-Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Kattani, asy-Shaikh Muhammad al-Yaqoubi dan ramai lagi. Sesungguhnya banyak manfaat yang kita boleh dapat dengan kehadiran para ulama’ ini. InsyaAllah
Didalam kitab al-Fushul al-‘Ilmiyyah karangan Qutub-ud-Da’wah wal-Irsyad al-Habib Abdullah bin ‘Alwi al-
Haddad al-Hadhrami, pada fasal 32 menyebut bahawa terdapat beberapa tujuan manusia dalam bershahabat dengan orang-orang terpilih (orang orang sholih) antaranya:
• Yang paling tinggi dan dan utama adalah mereka yang bershahabat duduk dan bergaul dengan mereka kerana tujuan untuk belajar dari ilmu-ilmu mereka, beradab dengan adab mereka, menyaksikan akhlaq mereka yang mulia dan sifat mereka yang terpuji, amal-amal mereka yang sholih dan juga perkataan-perkataan mereka yang baik. Seterusnya ia cuba berusaha bersungguh-sungguh setiap waktu untuk mencontohi sifat-sifat tersebut, berakhlaq dan beramal sholeh seperti mereka. Tiada niat
dan tujuan selain dari itu.
• Golongan seterusnya adalah mereka yang bershahabat, duduk bersama mereka, bargaul disebabkan rasa kecintaan kepada mereka dan para sifat mereka yang mengutamakan agama Allah, menegakkan hukum-hukumnya, menyibukkan diri dengan mengerjakan ketaatan kepadaNya berupa ilmu-ilmu yang bermanfaat, akhlaq yang baik dan amal-amal yang sholih. Ia mencintai mereka semua kerana perkara tersebut dan ingin selalu bergaul dengan mereka serta menuntut diri untuk beramal dan berakhlaq seperti mereka sekadar yang dimungkinkan oleh kelapangan waktu dan dimudahkan oleh keadaan. Dia akan menyesal atas ketidakmampuan ia lakukan seperti mereka dan sangat menginginkan agar beroleh taufiq dan kesempatan untuk itu. Mereka inilah sebagaimana yang disebu
t dalam hadits:
المرء مع من أحب
Seseorang itu bersama yang di cintainya
من تشبه بقوم فهو منهم
Barangsiapa yang bertasybbuh dengan sesuatu kaum maka ia termasuk dari kalangan mereka.
• Ada pula yang bershahabat dan bergaul dengan para ulama dan sholihin ini kerana mengharapkan barokah dan doa-doa dari mereka, tanpa mempunyai tujuan atau niat untuk mencontohi akhlaq mereka atau meniru perjalanan hidup mereka. Pun begitu mereka tetap tidak luput dari mendapat keberkatan dan kebaikan dari mereka. Mereka termasuk dalam maksud sepotong hadits
qudsi:
هم القوم لا يشقى بهم جليسهم
Mereka itulah kaum yang tidak seorangpun yang duduk dengan mereka akan tertimpa kecelakaan.Dengan berkat pergaulan itu, membentengi dirinya dari kaum yang zalim, baik dari syaitan-syaitan kalangan manusia dan juga dari jin.
• Ada golongan yang bergaul dengan para ulama’ dan sholihin ini semata-mata dengan niat supaya diketahui orang. Semoga dengan cara begitu mereka boleh melibatkan diri dalam urusan-urusan yang bercanggah dengan syariat dan lain-lain. Disebabkan orang ramai mengetahui bahawa mereka dekat dan sering bergaul dengan para sholihin tersebut, maka tentunya orang ramai tidak bersangka buruk kepada mereka atau berani menuduhnya telah melanggar perkara yang diharamkan syariat. [Pendekata golongan ini cuba menangguk di air yang keruh]. Golongan inilah yang disebut oleh Imam al-ghazali dalam bab riya’ iaitu golongan yang berpura-pura mengerjakan pelbagai ketaatan kepada Allah agar dikenal sebagai seorang yang taat. Dengan begitu memungkinkan dia mengerjakan perbuatan durjana. [Golongan bertopengkan agama]
نسأل الله العافية والحفظ فإنه خير الحافظين
Semoga kita termasuk dalam kategori pertama, kedua atau sekurang-kurangnya yang ketiga. Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):
“Dari Abu Musa رضي الله عنه dari Nabi صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda:
Perumpamaan berkawan dengan orang sholeh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti orang yang membawa wangian kasturi dan peniup api tukang besi. Orang yang membawa kasturi, samada akan memberikannya kepadamu, atau engkau membeli darinya atau engkau akan mendapati bau harum daripadanya. Sedangkan orang yang meniup api tukang besi, samada dia akan membakar pakaianmu, atau kamu akan mendapati bau yang busuk darinya.
Semoga kita beroleh pelbagai manfaat dari menghadiri majlis, bergaul dan duduk bersama para ulama yang sholihin. Semoga keberkatan dari ilmu, amal, akhlaq, asrar dan anwar mereka itu mengalir kepada kita yang serba dhoif. Oleh itu jangan lepas peluang andaikata ada ulama’ kita yang datang ke berkunjung negara kita maka hadirikanlah diri kemajlis mereka. Disamping itu jangan sesekali lupa, sentiasalah ziarahi para ulama kita di bumi Malaysia, kerana mereka seumpama teras kita disini.
Sekian.وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب- abu zahrah -